Carian
Touch ‘n Go Perkenal NFC Luxe Card Dan Charm NFC Sempena Hari Krismas
December 15, 2023 Effi Saharudin

Hari Krismas hanya tinggal 10 hari sahaja lagi. Sempena perayaan utama penganut agama Kristian ini diraikan, Touch ‘n Go melancarkan dua produk menarik dalam bentuk kad Touch ‘n Go LUXE Card – Titan Edition dan Touch ‘n Go Christmas Edition Charm dalam bentuk orang kuih halia.

Touch ‘n Go LUXE Card – Titan Edition ialah kad dengan sokongan NFC tetapi dalam warna hitam tidak berkilat dengan kemasan berwarna emas yang membuatkannya kelihatan mewah. Sangat berbeza dengan kad putih edisi biasa walaupun kedua-duanya masih lagi diperbuat daripada bahan plastik. Kad ini adalah edisi terhad dengan jumlah jualan yang sedikit.

Touch ‘n Go Christmas Edition Charm pula adalah dalam bentuk anak kunci yang juga mempunyai cip NFC membolehkan nilai ditambah menggunakan Touch ‘n Go eWallet untuk melakukan pembayaran di plaza tol misalnya.

Touch ‘n Go LUXE Card – Titan Edition dijual pada harga RM25 sekeping manakala Touch ‘n Go Christmas Edition Charm pula dijual pada harga RM30 sebuah. Ia boleh dibeli menerusi kedai atas talian Touch ‘n Go di Shopee Mall dan Lazada eShop sekarang. Pembelian juga boleh dilakukan menerusi pusat jualan Touch ‘n Go di Bangsa South dan NU Sentral bermula 19 Disember.

Komen